Sejarah Kampung
Simpang Pulai ialah sebuah tempat di negeri Perak, berhampiran dengan Ipoh, Gopeng dan Kampar.
Kaitan Kampung Simpang Pulai dengan sejarah Ipoh ketika era penguasaan British:
Kaitan Kampung Simpang Pulai dengan sejarah Ipoh ketika era penguasaan British:
Sejarah Melayu Ipoh
Pada tahun 1887, cuma 3,700 orang Melayu Kinta yang mengusahakan bendang terutamanya di kawasan Kampar berbanding 12,000 penduduk Melayu yang ada. Kedatangan pokok getah pada tahun 1890an membuatkan ramai orang Mendailing mula berhasrat menanam getah.
Ladang-ladang getah milik orang Mendailing mula memenuhi Sengat dan Gopeng. Walaupun orang-orang yang mendiami kawasan Sengat hingga Gopeng kebanyakannya adalah Mendailing namun Penghulu Mukim Sungai Raia ialah Tok Domba yang tinggal berhampiran Gunung Lanno (berhadapan tol Simpang Pulai hari ini).
Pendatang Mendailing adalah orang-orang yang bekerja untuk Kulup Riau dan mereka kemudiannya bergabung dengan pengikut Raja Asal yang mundur ke Perak. Orang Mendailing memilih Perak sebagai destinasi terakhir mereka setelah dikerah Pahang untuk berperang di Selangor dan kemudiannya 'diusir' dari negeri tersebut. Ini kerana, terdapat ramai pekerja Mendailing di Perak dan pemimpin mereka terdahulu telah diberi peluang membuka kawasan di Perak oleh pembesar melayu Perak.
Di Perak, orang Mendailing diterima sejak sekian lama sehinggalah mereka terjebak dengan tindakan Raja Asal membantu British memburu Datuk Maharaja Lela.
Kulup Riau pula tidak disenangi oleh Penghulu Melayu Kampar kerana sikap bermuka-muka ketika pemerintahan Sultan Ismail dan tindakannya menggunakan Pengkalan Baru berhampiran Tekkah untuk mengangkut bijih timah melalui Sungai Raia bagi mengelak melalui Sungai Dipang dan membayar tol kepada Kampar.
Kulup Riau sanggup membina jalan dari Gopeng ke Sungai Raia, 12 km ke utara, semata-mata mengelak dari melalui Sungai Dipang di mana kemudiannya, hasil bijih di bawa ke selatan iaitu ke Durian Sebatang (Hilir Perak) melalui Sungai Raia - Sungai Kinta.
Pada tahun 1890an juga British membina Jalan Ipoh ke Gopeng tanpa melalui jajaran Kulup Riau. British memilih untuk berurusan dengan Tok Domba kerana British masih menganggap Mendailing sebagai 'foreign Malay'.
Seorang juru ukur tanah Perancis, De Morgan yang mendapat konsesi melombong di Klian Lalang (Ulu Tekkah) yang mahu mendaki Gunung Lanno tetapi dinasihatkan supaya jangan oleh Tok Domba kerana berpenunggu yang akan menggulingkan batu dari atas. Sebab itulah kawasan itu dinamakan Keramat Pulai.
Tok Domba mewarisi kawasan perlombongan di antara Gunung Rapat dan Gunung Terendum (laluan PLUS membelah kuari batu Simpang Pulai hari ini), hingga ke Ulu Pinji. Lembah gunung batu kapur ini merupakan sempadan antara orang Semai di selatan dan Temiar di utara.
Selain Kulup Riau, nama besar ketua-ketua Mendailing pada dekad 1890an ialah Imam Perang di Gopeng dan Tok Setia Raja di Batu Gajah. Tok Setia Raja pernah membantu Raja Asal dalam Perang Kelang.
Orang Mendailing beralih kepada pertanian setelah mencuba bidang perniagaan di pekan Gopeng dan gagal bersaing dengan orang Cina. Kebun-kebun getah mula dibuka selain padi huma dan tanaman kontan.
Orang Melayu Perak pula dikepalai oleh Tok Domba dan anaknya Penghulu Che Wahab yang membuka Kampung Kepayang Baru (Kg. Kepayang Sungai Raya hari ini) . Pada tahun 1898, Kg. Kepayang Baru hangus terbakar dan siap dibina semula 3 tahun kemudian dengan pembinaan pasarnya ditender oleh Penghulu Che Wahab.
Ulasan
Catat Ulasan